Datuk tipu pelabur RM1 bilion diarah bayar RM600 juta
KUALA LUMPUR: Lelaki bergelar Datuk yang didakwa menipu ratusan pelabur membabitkan kerugian kira-kira RM1 billion diarah oleh Mahkamah Tinggi di Malaysia dan United Kingdom (UK) untuk membayar Kumpulan Zavarco lebih RM600 juta atas pelbagai pelanggaran tugas fidusiari.
Eksekutif Pelabur, Perhubungan Pelabur Zavarco, BS Maniam, berkata ia membabitkan penghakiman muktamad dari mahkamah di Malaysia dan UK terhadap individu terbabit atas pelbagai kesalahan korporat dan penyelewengan dana termasuk pecah amanah.
"Beberapa penghakiman itu termasuk sebanyak 101.5 juta Euro (kira-kira RM512 juta) di Mahkamah Tinggi UK kerana bersalah mengeluarkan saham syarikat awam (Zavarco Plc) kepada dirinya tanpa membayar balasan tunai.
"Penghakiman sebanyak RM29 juta (tidak termasuk faedah) di Mahkamah Tinggi Malaysia kerana secara salah memanipulasi akaun Zavarco Berhad untuk menuntut wang bagi dirinya sendiri sebagai bayaran balik untuk pendahuluan pengarah.
"Penghakiman RM61 juta (termasuk ganti rugi punitif dan teladan tetapi tidak termasuk faedah) di Mahkamah Tinggi Malaysia kerana melesapkan RM12 juta wang pelabur ke dalam akaun peribadinya," katanya dalam kenyataan.