Ratusan individu, syarikat korporat jadi mangsa skim pelaburan palsu

Oct 8, 2025 - 06:54
Ratusan individu, syarikat korporat jadi mangsa skim pelaburan palsu

Ratusan individu dan syarikat korporat termasuk beberapa agensi kerajaan didakwa menjadi mangsa skim pelaburan palsu yang dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, membabitkan kerugian dianggarkan hampir RM1 bilion.

Pendedahan itu dibuat oleh Sekretariat Tindakan MaPeR, yang mendakwa kegiatan penipuan tersebut telah berlarutan sejak lebih sedekad lalu dan melibatkan pelabur tempatan serta luar negara.

Pengerusinya, Shah Abdul Malek, berkata skim berkenaan telah memperdaya pelabur menerusi rangkaian ejen yang menyamar sebagai kakitangan bank terkemuka.

Katanya, ejen berkenaan menawarkan pelaburan runcit kononnya diluluskan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan dijamin oleh syarikat insurans antarabangsa bagi menarik minat pelabur.

“Rangkaian penipuan mereka mencecah hampir RM1 bilion, termasuk pelaburan oleh seorang usahawan dari United Kingdom (UK) berjumlah hampir RM60 juta.

“Ramai mangsa diperdaya dengan janji pulangan lumayan dan jaminan kononnya disokong pihak berkuasa kewangan,” katanya pada sidang media di Nu Sentral, di sini, hari ini.

Shah turut mendedahkan bahawa antara pihak yang dipercayai menjadi mangsa ialah beberapa agensi kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Kedah, Melaka dan Perlis, termasuk sebuah persatuan kebajikan anak-anak yatim di Pulau Pinang serta sebuah institut penyelidikan Islam.

Menurutnya, ada juga pelabur yang tertipu apabila beberapa ahli perniagaan ternama bergelar Tan Sri dikaitkan sebagai ahli lembaga pengarah dan pemegang saham utama syarikat terbabit.

“Saya ada senarai lebih 300 pelabur yang wang pelaburan mereka mungkin terjejas. Apa yang menyedihkan, syarikat yang dikaitkan dengan individu ini sebenarnya tidak mempunyai perniagaan yang sah.

“Semua hasil pelaburan hanya disalurkan ke poketnya sendiri. Dia bukan ahli perniagaan tulen, sebaliknya hanya tahu memperdaya pelabur,” katanya.

Difahamkan, ahli perniagaan terbabit kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas ditahan menerusi Op Fibre oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) kerana disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM75 juta.

Shah berkata, setakat ini beberapa laporan rasmi telah dibuat oleh pelabur, termasuk seorang warga British dan 10 pelabur dari Malaysia, membabitkan kerugian lebih RM66 juta.

“Kami menggesa lebih ramai mangsa tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya tindakan tegas dapat diambil terhadap individu dan rangkaiannya,” katanya.

Salah seorang mangsa, Lee Rodger Meiklejohn, seorang usahawan dari UK, berkata beliau menjadi mangsa penipuan ahli perniagaan terbabit antara Oktober 2010 hingga April 2011 selepas diperkenalkan oleh seorang broker di Edinburgh.

“Saya melabur kira-kira £10 juta (RM60 juta) berdasarkan maklumat dan dokumen yang ternyata palsu. Walaupun sudah membuat pelbagai susulan, kes ini tidak menunjukkan kemajuan yang ketara.

“Kami hanya mahukan keadilan dan berharap tindakan sewajarnya diambil supaya lebih ramai tidak menjadi mangsa,” katanya.

Shah menegaskan pihaknya akan terus mengumpul bukti dan membantu mangsa yang lain bagi memastikan dalang sebenar sindiket pelaburan palsu itu dihadapkan ke muka pengadilan.

“Kami tidak mahu perkara ini disapu ke bawah permaidani. Ini bukan kes terpencil, tetapi penipuan berskala besar yang menjejaskan keyakinan pelabur terhadap institusi kewangan negara,” katanya.

media RSS Media Unit