Ratusan individu, syarikat korporat jadi mangsa skim pelaburan palsu
KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan yang menamakan mereka
Sektretariat Tindakan MaPeR yang menjadi mangsa skim pelaburan palsu, menggesa tindakan tegas diambil terhadap individu yang menjadi dalang kepada sindiket penipuan berkenaan.
Pengerusinya, Shah Abdul Malek, berkata ratusan individu dan syarikat korporat termasuk agensi kerajaan dipercayai menjadi mangsa skim pelaburan itu.
"Rangkaian penipuan mereka mencecah hampir RM1 bilion, termasuk pelaburan oleh seorang usahawan dari United Kingdom (UK) berjumlah hampir RM60 juta.
"Kebanyakan mangsa diperdaya oleh ejen kepada individu berkenaan yang menyamar sebagai kakitangan AmBank dan Alliance Bank dengan menawarkan skim pelaburan runcit yang kononnya diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti serta dijamin oleh insurans," katanya ketika sidang media di Nu Sentral di sini, hari ini.
Pada November 2023, seramai tiga individu yang menjadi mangsa sindiket pelaburan didalangi seorang individu berpengaruh sejak 2007 merayu agar lebih ramai mangsa tampil membantu mendedahkan kegiatan penipuan berkenaan.
Berdasarkan rekod, beberapa agensi kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Kedah, Melaka dan Perlis, termasuk Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim di Pulau Pinang serta sebuah institut penyelidikan Islam dipercayai turut menjadi mangsa skim penipuan sama.
Pada masa sama, Shah memaklumkan bahawa mangsa juga terpedaya apabila beberapa ahli perniagaan ternama bergelar Tan Sri didakwa dikaitkan sebagai ahli lembaga pengarah dan pemegang saham utama syarikat berkenaan.
"Saya tidak tahu lagi bagaimana hendak membantu pelabur ini. Saya mempunyai senarai lebih 300 pelabur yang mungkin wang pelaburan mereka terjejas, termasuk aset daripada beberapa syarikat berkaitan kerajaan.
"Apa yang pelabur ini tidak sedari ialah syarikat yang dikaitkan dengan individu itu tidak mempunyai perniagaan yang sah.
"Saya percaya semua hasil haram itu hanya disalurkan ke poket dia sendiri. Dia bukan ahli perniagaan dan tidak tahu menguruskan perniagaan lain selain menipu pelabur," katanya.
Sementara itu, mangsa seorang warga United Kingdom, Lee Meiklejohn, berkata dia menjadi mangsa kegiatan penipuan Datuk Wira berkenaan antara Oktober 2010 dan April 2011.
Menurutnya, walaupun sudah membuat pelbagai susulan dan mengemukakan dokumen sokongan yang kukuh, kes berkenaan masih tidak menunjukkan sebarang kemajuan ketara, sekali gus menimbulkan kemungkinan berlakunya kelewatan prosedur atau campur tangan pihak tertentu.
"Kami di sini hari ini hanya mahukan keadilan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap dia (Datuk Wira). Kami tidak mahu lebih ramai yang menjadi mangsa pada masa akan datang.
"Bagi yang sudah menjadi mangsa, kami harap agar anda berani tampil dan mendedahkan tindakan tidak bertanggungjawab ini supaya dapat memulihkan sebanyak mungkin wang yang telah dilarikan," katanya.