Datuk Wira Ranjeet & ‘Tan Sri’ tipu pelaburan rugi RM1 bilion, polis tubuh pasukan khas siasatan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berkaitan Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu bekas Pengarah Urusan Kumpulan Zavarco yang didakwa menipu ratusan pelabur dengan kerugian dianggarkan mencecah hampir RM1 bilion.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata satu pasukan siasatan sudah ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bersama Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA).
“Kita kena siasat dulu dakwaan bahawa ‘Datuk’ itu dilindungi oleh seorang ‘Tan Sri’. Bila maklumat yang bukan kita keluarkan, kita kena siasat, kita nak sahkan berita dan maklumat itu benar.
“Kalau dia kata cakap dilindungi oleh ‘Tan Sri’ ke ‘Perdana Menteri’ ke kita kena siasat. Tak boleh terus-terus buat kesimpulan sebab maklumat itu bukan datang dari saya atau JSJK sendiri.
“Memang kita dah minta untuk siasat, kertas siasatan sudah dibuka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Bukit Aman
Sebelum ini Pengerusi Sekretariat Mangsa Penipuan Ranjeet (MAPER) yang juga seorang mangsa, Shah Abdul Malek, mendakwa setakat ini ratusan individu dan syarikat korporat menjadi mangsa kepada individu bergelar ‘Datuk Wira’.