SPRM sita hartanah dan kelab golf bernilai RM620 juta milik Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu

Jul 14, 2025 - 13:53

10 Julai lalu sekali lagi media melaporkan SPRM menyita Banglo mewah, kondominium, premis pejabat, lot tanah dan kelab golf antara hartanah bernilai RM620 juta milik Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu dalam siasatan Op Fibre membabitkan kelulusan pembiayaan pinjaman institusi perbankan.

Sebelum ini Datuk Wira Ranjeet direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penyelewengan dana projek pembangunan rangkaian fibre pada tahun 2012 bernilai kira-kira RM400 juta dan memasukkan wang bernilai kira-kira RM75 juta dalam akaun peribadinya.

Menurut sumber, sehingga kini SPRM juga sudah merakam percakapan sembilan saksi bagi membantu siasatan.

“Hartanah yang disita ini seperti banglo, kondominium, premis pejabat, lot tanah dan kelab golf yang terletak di sekitar Lembah Klang berjumlah kira-kira RM620 juta di mana suspek juga dipercayai pemegang saham dalam kelab golf berkenaan, selain menyita empat unit kenderaan mewah yang bernilai kira-kira RM2 juta.

“Sehingga kini, SPRM juga membekukan sebanyak 72 akaun yang meliputi akaun persendirian dan syarikat berjumlah melibatkan nilai kira-kira RM390,000,” katanya.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan maklumat dan berkata, notis Pengisytiharan Harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 akan diserahkan kepada suspek dan 23 individu mulai 10 Julai lalu.

Pada 30 Jun lalu, BOK menggeledah empat lokasi berbeza termasuk kediaman dan pejabat suspek di Selangor dan Kuala Lumpur.

Melalui operasi itu, SPRM membekukan 12 akaun bank termasuk akaun persendirian dan syarikat bernilai kira-kira RM400,000.

media RSS Media Unit